PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini sedang di dalam proses libat urus bersama para pemain industri sebelum mewartakan harga penjualan maksimum minyak masak tulen dalam botol.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, sesi libat urus dengan pihak industri itu akan turut melihat harga semasa dan harga terdahulu minyak masak tulen dalam botol sebelum penentuan harga maksimum bahan tersebut dapat dimuktamadkan.
“Ini isu yang sering diperkatakan oleh pengguna dan kita bimbang, apabila bahan mentah naik dengan segera akan berlaku kenaikan harga barang namun apabila barang mentah turun, mereka turun terlalu lambat jadi ini fenomena yang tidak sihat dan perlu ditangani.
“Bagaimanapun, sudah pasti kita akan menjaga kepentingan kedua-dua pihak iaitu peniaga dan pengguna. Kita tidak mahu peniaga terkesan begitu juga kita tidak mahu pengguna teraniaya jadi kita kena seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Cabutan Bertuah Belanja dan Menang PJM 2022 di Pusat Beli Belah IOI Putrajaya di sini hari ini.
Jelas beliau, harga semasa penjualan minyak masak botol ketika ini bergantung kepada harga minyak kelapa sawit mentah (CPO) semasa yang tidak dapat ditentukan perubahannya namun beliau yakin harga maksimum itu akan berubah bergantung kepada sumbernya.
“Jika CPO naik, kita terpaksa naikkan, jika CPO turun maka kita akan turunkan harganya, itu yang sepatutnya berlaku,” katanya.
Menurut Rosol, pewartaan harga maksimum minyak masak tulen dalam botol itu akan bergantung kepada hasil libat urus bersama pihak industri dan kerajaan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.
Terdahulu, Pengerusi Pasukan Khas Jihat Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan akan mewartakan harga maksimum minyak masak tulen dalam botol bagi memastikan produk itu mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, langkah itu diambil setelah rundingan untuk menurunkan harga minyak dengan pihak industri terbabit sebelum ini tidak efektif walaupun harga minyak sawit mentah dunia telah turun. – KOSMO! ONLINE