COLOMBO – Keseluruhan wad hospital terbesar di Sri Lanka gelap dan hampir kosong, manakala segelintir pesakit yang masih ada pula terbiar tanpa dirawat dan berada dalam kesakitan.
Krisis ekonomi di luar jangkaan memberikan tamparan hebat kepada sistem kesihatan menyeluruh dan percuma Sri Lanka yang sebelum ini dicemburui oleh jiran-jirannya di Asia Selatan.
Menderita akibat diabetes dan penyakit darah tinggi yang menyebabkan sendinya mengalami radang, Theresa Mary melakukan perjalanan ke ibu kota Sri Lanka, Colombo untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kebangsaan Sri Lanka.
Mary gagal mendapatkan kenderaan untuk ditumpang pada bahagian akhir perjalanannya, menyebabkan dia terpaksa berjalan terdengkot-dengkot sejauh lima kilometer.
Wanita itu dibenarkan keluar empat hari kemudian tetapi masih sukar berdiri kerana dispensari hospital kehabisan ubat tahan sakit.
“Doktor-doktor meminta saya membeli ubat di farmasi swasta tetapi saya tiada wang. Lutut saya masih bengkak. Saya tiada kediaman di Colombo. Saya tidak tahu berapa lama saya sudah berjalan,” kata Mary, 70, kepada agensi berita AFP.
Hospital Kebangsaan itu biasanya menerima pesakit dari seluruh Sri Lanka yang memerlukan rawatan pakar tetapi ia kini beroperasi dengan cuma segelintir kaki tangan, manakala banyak daripada 3,400 katilnya terbiar tanpa digunakan.
Bekalan peralatan pembedahan dan ubat penting hampir kehabisan sepenuhnya. Kekurangan petrol yang kronik pula menyebabkan pesakit dan doktor tidak dapat melakukan perjalanan ke hospital.
“Pesakit-pesakit yang dijadualkan menjalani pembedahan tidak hadir. Sebilangan kakitangan melakukan syif berganda kerana petugas lain tidak dapat hadir bekerja. Ya, mereka mempunyai kereta tetapi mereka tidak dapat membeli petrol,” kata Dr. Vasan Ratnasingham yang merupakan ahli persatuan pegawai perubatan kerajaan.
Sri Lanka mengimport 85 peratus ubat dan peralatan perubatannya bersama bahan mentah bagi menghasilkan barangan keperluan perubatan lain yang diperlukan.
Bagaimanapun, negara itu kini muflis dan ketiadaan mata wang asing menyebabkannya gagal mengimport barang keperluan seperti petrol dan ubat.
“Ubat tahan sakit, antibiotik dan ubat pediatrik amat kurang bekalannya. Ubat lain pula menjadi empat kali ganda lebih mahal sejak tiga bulan lalu,” kata pemilik farmasi tempatan, K. Mathiyalagan. – AFP