PARIS – Seorang peminat tegar tatu di Perancis mahu memotong sebelah kakinya untuk merealisasikan impian bergelar ‘makhluk asing hitam’, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Dalam usaha ke arah itu, Anthony Loffredo, 33, sudah memotong hidung, kedua-dua telinga dan dua jarinya.
Bibir atas Loffredo juga hampir dibuang sepenuhnya sehingga menyebabkan dia sukar untuk bercakap.
Loffredo juga mempunyai banyak implan pada bahagian bawah kulitnya. Badannya pula hampir sepenuhnya bertatu hitam, begitu juga bola mata lelaki itu.
Penagih pengubahsuaian badan itu juga telah membelah lidah dan melubangi bibir bawahnya.
Bercakap dalam audio siar (podcast) Club 113, Loffredi menceritakan bagaimana dia sukar mencari pekerjaan kerana penampilannya yang dianggap melampau.
Apabila ditanya sama ada dia pernah menyimpan mana-mana bahagian tubuhnya yang dipotong, dia berkata: “Telinga saya, kawan saya menyimpannya.”
Lelaki itu juga menyimpan bibirnya yang dicabut selepas beberapa pembedahan pada mulutnya.
Loffredo kerap menyiarkan imej dia mencucuk lidahnya yang bercabang kepada 1.2 juta pengikut di Instagram. Lelaki Perancis itu kini mahu memotong sebelah kakinya.
Dalam temu bual podcast baru-baru ini, dia menceritakan mahu memotong sebelah kakinya dari paras lutut ke bawah.
“Saya masih mempertimbangkannnya kerana saya mempunyai sepasang kaki yang sihat dan amputasi adalah sesuatu yang besar,” kata Loffredo. – Agensi