fbpx

Pasangan suami isteri dera anak angkat didakwa di mahkamah esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar memaparkan seorang wanita didakwa memukul seorang kanak-kanak ketika sedang makan.

KAJANG – Pasangan suami isteri yang didakwa mendera anak angkat mereka di kawasan sebuah Taman Perumahan di Beranang, Selangor dan video tersebut tular di media sosial akan dituduh di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, wanita berusia 28 tahun dan suaminya yang merupakan warga Singapura akan dituduh di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor hari ini dan telah mendapat arahan tuduh ke atas kedua-dua suspek dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana secara bersama-sama melakukan penganiayaan ke atas seorang kanak-kanak (mangsa)sehingga mendatangkan kecederaan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, suspek lelaki yang berusia 30 tahun juga akan dituduh dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah tinggal lebih masa di negara ini.

“Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Terdahulu, tular video berdurasi 27 saat memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipukul menggunakan penyangkut baju, penyapu selain dicucuh dengan pemetik api hanya kerana enggan makan nasi.

Polis kemudiannya menahan pasangan suami isteri berkenaan di kediaman mereka di Beranang sekitar pukul 2.30 pagi pada 22 Julai lalu selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada hari yang sama.

Siasatan polis mendapati kanak-kanak itu adalah anak kepada seorang wanita warga Indonesia dan kelahirannya tidak pernah didaftarkan serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI