fbpx

MK K-Clique mengaku anak manja, telefon ibu setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MK K-Clique mengakui dia seorang anak yang manja.

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap dan pelakon MK K-Clique mengaku dia merupakan seorang anak yang manja atau istilahnya ‘anak mak’ dan jika boleh enggan berpisah dengan ibunya yang berada di Sabah.

Sungguhpun begitu kerana karier sebagai anak seni, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 26, terpaksa berkorban berjauhan dengan keluarga tersayang.

Bagaimanapun, MK akan menghubungi ibunya setiap hari untuk bertanya khabar dan memohon doa keberkatan agar urusannya dipermudahkan.

“Saya memang anak mak dan saya memang telefon mak setiap hari untuk mohon doanya. Alhamdulillah, ibu saya seperti ibu orang lain juga, amat memahami kerjaya anaknya.

“Berjauhan dengan keluarga adalah satu pengorbanan yang terpaksa saya lakukan demi mencari rezeki. Jika di Sabah, mungkin peluang kerjaya dalam bidang seni agak terhad,” ujar MK yang merupakan anak ketujuh daripada lapan adik-beradik.

Dalam pada itu, MK amat menjaga privasi keluarga apabila enggan berkongsi butiran terperinci tentang kesihatan ibunya.

Pertanyaan tersebut diajukan media apabila tular sebuah video MK sedang membaca surah Yasin bersama keluarga dalam TikTok baru-baru ini.

“Tentang keluarga saya minta maaf, saya tidak boleh berkongsi. Cuma saya mohon setiap orang yang mengenali saya dan keluarga mendoakan kesejahteraan dan kesihatan ibu saya.

“Buat masa ini ibu saya berada dalam keadaan yang baik dalam jagaan ahli keluarga di Sabah,” katanya.

Berkongsi tentang perkembangan karier nyanyiannya, MK memberitahu kumpulan K-Clique bakal mengadakan persembahan langsung khas buat peminat pada tahun ini.

“Alhamdulillah semua berada di landasan yang betul, kita kena pastikan semua seiring agama, kerja dan cinta,” katanya tertawa.

Terdahulu, MK yang ditemui pada majlis Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021, PTTI mendedahkan dia cukup gembira apabila terpilih sebagai duta pusat peningkatan akademik PTTI bersama penyanyi Iman Troye.

“Pelajaran sangat penting kerana dapat menjamin masa depan. Saya seronok kerana dapat membantu memberi semangat dan menjadi contoh yang baik buat pelajar,” kata MK yang merupakan graduan Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI