fbpx

Malaysia sambar emas pertama AUG 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZHENG YONG (tengah) dan Welson (kanan) memenangi pingat emas dan gangsa buat Malaysia menerusi acara 400m gaya bebas lelaki.

UBON RATCHATHANI – Kontinjen negara meraih emas pertama pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand hari ini menerusi perenang negara, Low Zheng Yong dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki.

Zheng Yong cemerlang mengungguli aksi final yang berlangsung di Kampus Ban Yang Noi dengan catatan masa tiga minit 59.57 saat (s), menewaskan perenang Indonesia, Nicholas Karel Subagyo di tempat kedua (4:01.85s).

Seorang lagi perenang negara, Welson Sim turut menggembirakan kem negara dengan kejayaan pingat gangsa dalam acara itu menerusi catatan masa (4:07.29s).

Kejayaan itu menyaksikan kem renang negara berjaya mempertahankan pingat emas bagi acara tersebut sewaktu edisi 2018 di Nay Pyi Daw, Myanmar yang ketika itu dimenangi oleh Welson menerusi rekod kejohanan 3:55.02s.

Sementara itu, hasrat perenang wanita, Goh Chia Tong untuk menghadiahkan pingat emas kedua negara tidak kesampaian apabila meraih tempat kedua acara 400m gaya bebas wanita dengan masa 4:28.51s.

Atlet negara itu tewas kepada pemenang pingat emas dari Singapura, Zi Yi Chan yang mencatat masa 4:27.58s, manakala tempat ketiga menjadi milik perenang Indonesia, Prada Hanan Farmadini (4:28.68s).

Turut meraih pingat perak daripada acara renang hari ini ialah Ng Tze Xiang dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki selepas mencatat masa 24.82s. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI