SEREMBAN – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan bantuan modal perniagaan sebanyak RM40 juta dalam usaha melahirkan sekurang-kurangnya 2,000 asnaf yang berjaya dalam bidang keusahawan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sebanyak 2,000 asnaf berkelayakan yang mempunyai kemahiran akan diberi diberi bantuan modal perniagaan supaya mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan sekali gus menjadi penyumbang zakat.
“Sebanyak 2,000 orang asnaf yang berpotensi kita akan menggilap bakat yang ada pada diri mereka untuk menjadi usahawan dan kita akan beri modal teroka sebanyak RM20,000 seorang.
“Asnaf ini akan dilatif oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk berniaga, kita harapkan asnaf ini empat hingga lima tahun lagi akan menjadi pembayar zakat (berjaya dalam perniagaan),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 Kali Ke-9 bertemakan ‘Zakat dan Kemiskinan’ di Nilai Spring Resort Hotel di sini.
Pada masa yang sama, Idris berkata, MAIWP juga mengambil pendekatan lebih berfokus kepada lokaliti dan komuniti melalui program pertanian bandar.
“Program Projek Agropreneur Asnaf MAIWP telah dilancarkan di Kompleks Darul Kifayah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur dan kita menyasarkan penanaman cili sebanyak 21,000 polibeg. Ini adalah program pertanian bandar yang kita usahakan untuk membantu para asnaf.
“Begitu juga Yayasan Waqaf Malaysia sedang dalam proses untuk membangunkan 10 ekar (empat hektar) tanah di Putrajaya untuk program Waqaf Petani dalam kalangan asnaf,” katanya.
Dalam pada itu, Idris memberitahu, sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, MAIWP telah mengagihkan zakat berjumlah RM297.14 juta kepada golongan asnaf yang berkelayakan menerusi pelbagai skim yang ditawarkan.
“Berdasarkan rekod, setiap bulan MAIWP telah membantu secara tetap lebih 30,200 ketua keluarga di ketiga-tiga negeri Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melalui bantuan tetap RM500 ke RM1,000.
“Sebanyak RM297.14 juta zakat itu diagihkan MAIWP menerusi 30 jenis Skim Bantuan Baitulmal meliputi bantuan kesihatan, saraan bulanan, pendidikan dan perumahan untuk kesejahteraan asnaf dalam mendepani kemiskinan,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang bulan Jun lalu, MAIWP juga telah mengagihkan sebanyak RM40.84 juta melalui Program Musa’adah Agensi Islam di seluruh negara sebagai salah satu bentuk bantuan termasuk ketika rakyat berhadapan kemiskinan pada fasa pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE