fbpx

Lukisan pelajar terpilih menghiasi Buku Laporan Tahunan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerahan buku Laporan Tahunan SPRM kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di Putrajaya.

PETALING JAYA – Tujuh lukisan memaparkan kebencian terhadap rasuah dihasilkan pelajar sekolah menengah, dipilih menghiasi muka hadapan Buku Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021.

Kesemua lukisan itu dipilih menerusi pertandingan melukis poster melalui e-Program Wira Anti Rasuah (WAR) Sekolah Menengah SPRM dan Kementerian Pendidikan (KPM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2020.

Pemilihan semua poster tersebut bertujuan menyampaikan mesej iaitu setiap lukisan adalah ekspresi kebencian pelajar terhadap sebarang bentuk perbuatan rasuah.

Berikutan itu, Buku Laporan Tahunan SPRM 2021 itu diserahkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam majlis yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Ahmad Khusairi dalam ucapannya berkata, buku Laporan Tahunan SPRM 2021 itu diterbitkan selaras peruntukan Seksyen 11 (2) Akta SPRM 2009.

“Buku ini mengandungi laporan komprehensif aktiviti SPRM sepanjang tahun 2021 berkaitan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan dalam usaha SPRM memerangi jenayah rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelajar tingkatan tiga, Ng Si Ying dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hua Lian, Taiping Perak, berkata, dia mendapat ilham menghasilkan lukisan itu menerusi pembacaan di laman web selain merujuk kepada portal SPRM.

Katanya, pertandingan itu disertainya sewaktu di tingkatan satu selepas dimaklumkan guru serta megambil masa kira-kira tiga minggu untuk menyiapkannya menggunakan cat air dan pensel warna.

“Lukisan saya menggunakan tangan sebagai simbolik menolak rasuah dan logo SPRM sebagai satu agensi penguatkuasa membanteras rasuah di negara ini serta ingin menyampaikan mesej kepada pemimpin negara bahawa kami mahukan negara bebas rasuah,” katanya.

Pelajar tingkatan empat, Gracelyn Loh Yee Thing dari SMJK Perempuan China, Pulau Pinang, berkata, dia mengambil masa dua minggu menghasilkan lukisan tersebut dan mendapat idea melalui beberapa laman web serta merujuk portal SPRM.

Buku Laporan Tahunan SPRM 2021 boleh didapati di portal SPRM dengan melayari laman web www.sprm.gov.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI