fbpx

Lima ahli sindiket seludup minyak diesel bersubsidi tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peralatan yang dirampas hasil serbuan ke atas sindiket penyeludupan minyak di Kampung Api-Api, Pontian, Johor.

PONTIAN – Lima ahli sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi tumpas selepas kegiatan mereka berjaya dihidu polis melalui serbuan yang dilakukan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, bertindak melalui maklumat awam, sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Api-Api dekat sini kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, hasil daripada serbuan itu, tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berusia lingkungan umur 32 hingga 66 tahun berjaya ditahan.

“Hasil daripada serbuan itu, pihak polis berjaya merampas tiga buah lori yang sudah diubah suai dengan tangki tambahan kosong berkapasiti 2,000 liter dan sebuah sebuah lori Pickup diubah suai dengan tangki tambahan mengandungi minyak diesel bersubsidi berisipadu kira-kira 800 liter.

“Turut dirampas adalah sebuah tangki besi mengandungi minyak diesel bersubsidi berisipadu kira-kira 20,000 liter serta 15 buah tangki kosong berkapasiti 1,000 liter,”katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohammad Shofee, barang -barang yang turut ditemui dan dirampas di stor itu adalah sebuah buku resit, lima keping resit dan dua buah buku rekod jual beli minyak diesel bersubsidi dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM80,000.

“Kes disiasat mengikut Syeksen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama peraturan 3(1) Peraturan – Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000,000 dan denda tidak melebihi RM3,000,000 bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes juga disisat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 terhadap dua warga asing kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah semasa pemeriksaan dijalankan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak lebih daripada enam kali jika disabitkan kesalahan,”katanya.

Mohammad Shofee turut mengingatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dengan sebarang perlakuan atau kegiatan jenayah kerana tindakan tegas terhadap pelaku atau kumpulan yang terlibat dengan kegiatan jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI