LIVERPOOL – Bekas bintang Liverpool, Robbie Fowler menyifatkan kritikan terhadap prestasi Darwin Nunez ketika aksi persahabatan pramusim menentang Manchester United dan Crystal Palace sebagai tidak masuk akal.
Fowler menegaskan tidak adil untuk terus menghukum pemain dari Uruguay itu kerana pembelian dibuat Liverpool adalah untuk jangka masa panjang dan bukannya untuk mendapatkan keputusan pada pramusim.
“Untuk meragui kemampuan Nunez ketika dia hanya bermain beberapa minit menentang Manchester United dan Crystal Palace menjadi sesuatu yang agak menggelikan hati.
“Bola sepak masa kini, jika anda dibeli dengan harga mahal dan gagal menjaringkan gol, pastinya kamu akan rasai tekanannya, tetapi apa yang berlaku adalah agak keterlaluan.
“Jurgen Klopp beli Nunez untuk memacu pasukan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, bukannya untuk pramusim.
“Saya dapat lihat Klopp cukup gembira dengan cara Nunez bermain. Paling penting, Klopp berasa gembira dan berpuas hati dengan Nunez,” katanya.
Bagaimanapun, pada perlawanan menentang RB Leipzig, Nunez sudah pun menyerlahkan kualiti dengan menyumbangkan empat gol buat The Reds untuk memastikan kemenangan 5-0.
Awal pagi Khamis ini, Liverpool bakal mengharungi satu lagi persahabatan menentang RB Salzburg sebelum membuat perhitungan dengan Manchester City pada aksi Piala Perisai Komuniti pada Ahad nanti. – AGENSI