PUTRAJAYA – Kertas siasatan penceramah bebas bergelar ustaz yang disyaki merogol seorang remaja perempuan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) esok untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya percaya siasatan dapat dilengkapkan esok sebelum dirujuk biarpun masih ada sedikit perkara lagi yang perlu diselesaikan.
“Setakat hari ini, siasatan yang kita jalankan masih belum lengkap, masih ada sedikit lagi kenyataan yang perlu kita kumpul dalam kes ini.
“Sama ada sambung reman atau tidak esok masih bergantung sepenuhnya kepada keputusan TPR selepas meneliti kertas siasatan yang akan dihantar esok.
“Jadi, kita tunggu apa keputusan Timbalan Pendakwa Raya. Jika boleh dituduh kita akan tuduh suspek esok,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Latihan Dalam Perkhidmatan, Pengenalan dan Pengendaliaan Bot Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Katanya, kertas siasatan yang akan dirujuk esok adalah berdasarkan laporan polis yang telah diterima dari mangsa rogol di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, suspek berusia 30-an itu telah direman oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur selama empat hari sejak Ahad hingga Rabu ini bagi membantu siasatan polis.
Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 18 Julai lalu kerana didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE