PUTRAJAYA – Malaysia memerlukan pertambahan pegawai dietetik berikutan trend kehidupan serta pemakanan yang membimbangkan dan kemunculan penyakit jarang ditemui dalam kalangan rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, seramai 353 daripada 469 pegawai dietetik ditempatkan di hospital, 89 pegawai di klinik kesihatan, 13 pegawai di pejabat KKM dan sembilan pegawai di hospital angkatan Tentera serta lima pegawai sedang cuti belajar.
Beliau berkata, pihaknya mendapati jumlah yang ada masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan 145 hospital dan 651 klinik kesihatan.
“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sudah membuat permohonan pertambahan jawatan pegawai dietetik di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana berdasarkan ratio semasa adalah satu pegawai dietetik bagi setiap 33 pesakit yang mana, ia sepatutnya 1:10 setiap hari dan ini menunjukkan bilangan yang ada tidak mencukupi.
“Jika dilihat pada tugasan, pegawai dietetik perlu untuk memberi nasihat pemakanan yang betul kepada pesakit atau penghidap kanser berikutan situasi kesihatan mereka yang tidak boleh makan dengan sewenang-wenangnya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Kualiti dan Kajian Pegawai Dietetik ketiga di kementeriannya, hari ini.
Sementara itu, Dr. Noor Azmi ketika berucap mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak terlalu leka dan terus berusaha mengekang wabak Covid-19 agar tidak kembali merebak.
“Kebimbangan kita hari ini takut ada lonjakan lagi, takut ada gelombang lain. Kita risau kerana di dunia (kes) semakin naik dengan varian BA.5 ini yang jelas mengancam dunia manakala Malaysia juga, kes dah semakin naik.
“Kita tahu kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi dan penggunaan alat bantuan pernafasan semua naik, walaupun kematian masih lagi satu digit,” katanya. – KOSMO! ONLINE