fbpx

Fesyen, pakaian tak melambangkan seksualiti seseorang – Fazley Yaakob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZLEY YAAKOB

PETALING JAYA – Cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob berpendirian bahawa fesyen tidak mengenal jantina namun perlu disesuaikan dengan tempat dan acara dihadiri seseorang.

Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob berkata, sebagai seorang yang sentiasa menjaga penampilan, fesyen jauh sekali melambangkan seksualiti seseorang itu.

“Zaman sekarang, fesyen itu adalah sesuatu yang perlu tidak kiralah lelaki ataupun perempuan. Dulu orang cakap, lelaki tak boleh pakai warna merah jambu dan perempuan tak boleh pakai sut.

“Macam saya dan isteri (Azrene Soraya), kami memang selalu terapkan dalam kehidupan tentang fesyen. Kami ajar orang pasal imej terutama kepada orang-orang korporat.

“Lainlah kalau lelaki pakai dres atau perempuan pakai baju Melayu, benda itu agak melanggar etika (fesyen) tetapi bergantung juga kepada keadaan.

“Pada saya, fesyen adalah fesyen. Trend adalah trend. Tidak semestinya kita boleh sesuka hati menghakimi seseorang  sebab pakaian tidak melambangkan seksualiti seseorang, gaya korporat ataupun bisnes yang seseorang itu sedang uruskan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Fazley berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran menu baharu The Manhattan Fish Market di ibu kota, semalam.

Dalam pada itu, Fazley, 44, tampil menafikan dakwaan kononnya dia menjadi punca seorang pengguna Twitter dibuang kerja gara-gara satu ciapan dalam laman media sosial, baru-baru ini.

“Tak berlaku pun pembuangan pekerja itu sebab semasa dihubungi oleh majikan pekerja terbabit, saya cuma minta untuk majikan itu menasihati individu tersebut.

“Saya mohon supaya dia tak dibuang. Saya pun dah maafkan dia pada hari kejadian itu lagi,” katanya.

Jelas pelantun lagu Asmara Ini itu lagi, semasa kejadian, dia telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan mengenai tindakan seorang pengguna Twitter yang mengecam dirinya dalam media sosial termasuk mengkritik baju yang dipakainya kelihatan buruk.

“Dia tidak tahu saya ialah jurulatih program keusahawanan tersebut. Saya pakai baju daripada seorang pereka fesyen dan setahu saya baju itu memang tiada sebarang masalah.

“Saya dapat tahu dia adalah sebahagian daripada penganjur. Saya sebenarnya risau kalau dia mewakili penganjur dan dia buat perkara begitu semasa sedang bekerja, itu tidak patut kerana dia membawa nama syarikatnya bersama.

“Saya dah maafkan dia dan benda pun dah berlalu dan berlaku. Saya pun dah nasihatkan dia supaya berhati-hati dalam setiap tingkah laku apatah lagi jika dia membawa nama baik syarikatnya ketika bekerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI