PETALING JAYA – Dinar Emas Edaran Trading Sdn. Bhd (DEET), peneraju dinar emas di negara ini, mahu melebarkan sayap perniagaan mereka bukan sahaja di dalam negara malah ke negara jiran seperti Indonesia.
Pengasasnya, Mustafa Rabbani berkata, pihaknya ketika ini sedang mencari beberapa ejen baharu di Indonesia bagi meluaskan lagi pasaran dinar emas yang mula dilancarkan pada 1 April lalu.
Menurut beliau, walaupun DEET baharu bertapak, tetapi kini syarikat telah mempunyai ratusan ejen termasuk di Malaysia, Indonesia, Thailand, Pakistan dan beberapa negara lain.
“Indonesia dipilih sebagai hab kedua selepas Malaysia kerana pasaran di negara tersebut cepat berkembang.
“Negara jiran itu juga menjadi pasaran terpenting kerana kebanyakan sumber emas kita diperoleh dari kepulauan di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Malam 1000 Dinar DEET di sini baru-baru ini.
Selain itu, mengulas mengenai pasaran tempatan, Mustafa menyasarkan jualan dinar emas sekitar 30 hingga 50 kilogram sebulan sepanjang tahun ini.
Tambah beliau, pihaknya berkeyakinan terhadap sasaran itu dapat dicapai kerana melihat trend terkini orang ramai lebih suka melakukan pelaburan menerusi dinar emas berbanding emas perhiasan serta mata wang biasa.
“Selepas ramai terkesan dengan pandemik sebelum ini, kebanyakan mereka beralih kepada menyimpan emas berbanding wang tunai.
“Ini kerana dinar emas tidak susut nilai berbanding emas perhiasan atau mata wang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE