SEWAKTU zaman remaja dan persekolahan, penyanyi Chaeryeong mengakui dirinya seorang yang sangat berkeyakinan.
Bagaimanapun, perasaan tersebut tiba-tiba merudum semasa mula-mula hendak memulakan debut bersama kumpulan ITZY.
Semuanya berpunca daripada beberapa faktor antaranya apabila dia terpaksa memikirkan hati orang lain berbanding diri sendiri.
“Saya cenderung mengambil berat tentang reaksi orang. Sedangkan waktu kecil, saya bukan begitu. Saya selalu yakin diri dan berasa diri seorang yang paling cantik.
“Tetapi segalanya berubah. Ada banyak alasan. Contohnya ada seseorang yang cuba menghalang saya memulakan debut dalam industri. Orang begitu memang wujud,” katanya.
Chaeryeong meluahkan perkara tersebut dalam rancangan No Prepare.
Disebabkan itu, penyanyi berkenaan mengakui, keyakinan dirinya mula berubah akibat terlalu kerap memikirkan tentang reaksi orang lain terhadap dirinya.
“Saya selalu fikirkan tentang orang lain. Saya cuba bertimbang rasa dan beri perhatian terhadap reaksi mereka. Mungkin bagi orang lain, apa yang saya lakukan ini nampak palsu. Tapi saya tak kisah,” katanya lagi.