BANGKOK – Seorang ibu tunggal di Thailand mendakwa kediamannya dipecah masuk oleh orang suruhan ah long yang bertindak melempar dan melumur ikan pekasam ke seluruh peralatan rumahnya sebagai cara untuk memaksa dia membayar wang pinjaman.
Peeyanapa Khondee, 45, membuat laporan di balai polis Bueng Sam Phan, Ahad lalu mengenai kejadian tersebut, lapor akhbar Daily Star.
Menurutnya, rumahnya dipenuhi dengan ‘pla ra’, atau ikan pekasam sehingga menghasilkan bau busuk yang amat kuat.
Pla ra diperbuat daripada ikan yang diperam selama berbulan-bulan dan dicampur garam serta beras.
Peeyanapa berkata, keadaan itu memaksanya membawa keluar katil dan peralatan elektrik disebabkan bau yang meloyakan.
Menurut jiran-jiran, ketika kejadian, sebuah kenderaan Mitsubishi berwarna hitam diletakkan di hadapan rumah Peeyanapa ketika dia tiada di rumah.
Seorang lelaki dilihat memasuki rumah tersebut sambil membawa beg plastik dan kemudian berlalu dari situ sambil memandu kenderaannya.
Ibu kepada tiga anak itu mengakui dia dan ahli keluarganya terpaksa tinggal di rumah rakannya selama lebih setengah minggu berikutan ancaman daripada kumpulan ah long tersebut.
Peeyanapa yang bekerja di sebuah pasar sebagai penjual ikan masin berkata, dia ada meminjam wang berjumlah 4,000 baht (RM486.24) dengan bayaran balik sebanyak 200 baht (RM24.31) sehari pada kadar faedah 20 peratus sebulan. – Agensi