fbpx

SPRM Kelantan intip kegiatan rasuah di sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosli (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Muhamad Zaki selepas Program Dialog - Basmi Rasuah Hapus Jenayah Tanggungjawab Bersama di Pantai Cahaya Bulan Resort, Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sedang mempertingkatkan usaha penguatkuasaan melalui intipan dan penyamaran bagi mengesan kegiatan rasuah melibatkan sindiket penyeludupan yang semakin aktif sejak akhir-akhir ini.

Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain berkata, ia merupakan salah satu cara untuk mengesan kes rasuah yang dilakukan penyeludup yang mengumpan habuan kepada anggota penguat kuasa yang bertugas di sempadan.

Menurutnya, berdasarkan situasi semasa, kegiatan penyeludupan di sempadan negeri ini masih belum dapat dikekang sepenuhnya.

“Kita laksanakan penguatkuasaan dalam pelbagai cara. Selain itu, SPRM juga berharap pihak penguat kuasa di sempadan dapat bekerjasama dengan mendedahkan kegiatan ini dalam usaha memastikan tindakan dapat diambil terhadap pemberi rasuah.

“Intipan secara penyamaran merupakan usaha SPRM Kelantan dan ia turut dibantu oleh pelbagai agensi agar maklumat dapat disalurkan bagi membuktikan kesalahan yang dilakukan sekali gus membawa perasuah di sempadan ke muka pengadilan,” katanya di sini hari ini.

Jelas Rosli, beliau turut mengalu-alukan kepada pihak penguat kuasa yang bertugas di sempadan yang pernah diberi rasuah atau tahu mengenai jenayah itu agar melaporkan kepada SPRM.

“Identiti individu yang memberi maklumat akan dirahsiakan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2019 (Akta 711).

“Semua pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya dan ini telah termaktub di bawah akta terbabit,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI