fbpx

Sasaran RM1 juta konsert amal Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Music Of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza diharapkan dapat mencapai sasaran supaya lebih banyak misi bantuan dapat dilaksanakan terutama ketika musim banjir dan bencana alam lainnya.

PENGHIBUR Nombor Satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengubat kerinduan peminatnya apabila bakal mengadakan sebuah persembahan amal khas yang dianjurkan bersama Yayasan Nurjiwa pada 5 dan 6 November 2022 nanti di Dewan Plenary, KLCC.

Persembahan selama dua malam itu dianjurkan bertujuan untuk mengisi dana Yayasan Nurjiwa bagi meneruskan misi bantuan, sekali gus mengubat kerinduan peminatnya yang sudah lama tidak menonton persembahan penyanyi kesayangan mereka pada skala besar.

Tambah menarik, persembahan yang diberi nama Music Of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza itu turut menampilkan penyanyi legenda rock tanah air iaitu Datuk Awie yang juga menjadi antara penghibur kegemaran Siti.

Apa yang pasti, gandingan kedua-dua nama besar itu menjadi elemen istimewa yang akan dipersembahkan pada malam persembahan nanti sekali gus memukau peminat yang hadir.

Menurut Siti, persembahan kali ini bukan sahaja bertujuan untuk berhibur, tetapi juga merealisasikan matlamat untuk mengajak peminat sama-sama berbuat kebaikan.

Music Of The Soul sebenarnya kesinambungan perjalanan Siti sebagai penyanyi dan seni merupakan sebahagian daripada jiwanya.

Pengalamannya sendiri sewaktu turun padang menyampaikan misi bantuan telah menimbulkan kesedaran bahawa badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat memerlukan kerjasama untuk menjalankan sebarang bentuk usaha murni.

“Saya yakin lebih banyak tangan yang membantu, apa sahaja yang kita usahakan akan dapat diperluaskan lagi.

“Saya bersyukur kerana sepanjang beberapa misi bantuan yang telah dijayakan seperti banjir, Palestin dan Covid-19, banyak syarikat dan orang perseorangan telah sama-sama turut membantu menyumbang untuk Yayasan Nurjiwa,” katanya.

Isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu menyasarkan persembahan dua malam tersebut akan mengutip dana sebanyak RM1 juta untuk disalurkan dalam tabung Yayasan Nurjiwa.

“Kami mensasarkan kutipan RM1 juta untuk persembahan selama dua malam itu nanti yang kesemuanya akan dimasukkan ke dalam tabung Yayasan Nurjiwa.

“Tapi kalau orang perseorangan atau syarikat mahu menyalurkan sumbangan pun tiada masalah. Sebab sekarang kita masih giat mengumpul dana bawah Tabung Bantuan Khas Bencana Alam, Palestin dan Covid-19 dengan kerjasama Kita Fund,” katanya.

Ini bukan kali pertama pelantun Nirmala itu mengadakan persembahan untuk mengumpul dana menerusi tabung yang dilancarkan.
Antara persembahan amal yang pernah dijayakan termasuklah, Konsert Satu Dato’ Siti Nurhaliza (2009) dan Dato’ Siti Nurhaliza Live In KLCC: Where The Heart Is (2014).

PERSEMBAHAN Music Of The Soul bertujuan untuk mengisi dana Yayasan Nurjiwa bagi meneruskan misi bantuan serta mengubat kerinduan peminat yang sudah lama tidak menonton persembahan Siti dalam skala besar. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Keutamaan

“Menyanyi adalah kerja saya. Menghiburkan pula adalah satu amanah dan tanggungjawab. Memasuki usia 27 tahun berada dalam industri seni hiburan, saya percaya persembahan saya juga akan semakin matang mengikut arus waktu.

“Sesuai dengan usia saya 43 tahun, saya akan memberikan keutamaan kepada konsep persembahan yang bersesuaian,” katanya.

Mengakui teruja untuk bertemu dengan peminatnya, Siti akan berusaha untuk menampilkan persembahan yang akan diingati.

Malah, setiap kali mengadakan persembahan di pentas besar, Siti juga akan berusaha memberikan persembahan berbeza bagi memuaskan hati penonton.

Persembahan malam itu akan diiringi oleh pemuzik profesional yang diketuai oleh Aubrey Suwito.

Menampilkan konsep emosi dan penjiwaan, Siti yakin kerjasamanya dengan Aubrey akan dapat menghasilkan gubahan muzik lebih segar dan berbeza.

Music Of The Soul sebenarnya kesinambungan perjalanan Siti sebagai penyanyi dan seni merupakan sebahagian daripada jiwanya.

Justeru, Siti berharap hasrat yang diusahakan itu dapat memberi semula manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan bantuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI