SEBERANG PERAI – Mula menjual kerongsang sejak lebih 10 tahun lalu dan sibuk menguruskan hal rumah tangga berserta empat orang anak yang masih bersekolah tidak dijadikan alasan utama bagi Noriza Azizan untuk terus berfikiran positif melawan cabaran dalam dunia perniagaan
Hanya bermula daripada peringkat bawah tetapi kini, wanita berusia 41 tahun ini mampu duduk sebaris dengan usahawan wanita lain yang sedang mencipta nama.
Selain kerongsang, usahawan ini pernah menjual tudung, anak tudung atau inner serta beberapa produk minuman kesihatan lain termasuk kopi, susu yang diekstrak daripada buah markisa, jus dan jamu dalam bentuk jeli di bawah jenama Nayumi.
Noriza menjelaskan, produk yang menjadi identiti kepada jenama Nayumi sebelum ini adalah inner empat warna atau Nayumi Scaft by Eija Wan yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu dan kini telah terjual sehingga lebih daripada 200,000 helai.
Berkat kesabaran dalam tempoh tersebut, sebahagian daripada produk Nayumi khususnya daripada kategori minuman dan jamu yang dikenali sebagai Nayumi Sumee Kacyp Fatimah kini berjaya menembusi pasaran Brunei sejak bulan lalu.
Bersyukur dengan perkembangan itu, Noriza mula menyusun strategi lebih ampuh untuk memperluaskan empayar Nayumi ke negara lain selepas ini.
“Kami akan perluaskan pasaran ke negara lain secara berperingkat-peringkat.
“Pada masa ini, saya sedang berusaha untuk menambah lebih ramai bilangan ejen termasuk dalam kalangan suri rumah atau ibu tunggal atau sesiapa sahaja yang mahu menambah pendapatan bulanan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Noriza menjelaskan, Nayumi Sumee Kacyp Fatimah dijual pada harga RM29 untuk setiap pek yang mengandungi tujuh sachet manakala inner empat warna itu pula berharga RM10 setiap satu. -KOSMO! ONLINE