fbpx

‘Nenek tempat kami empat beradik menumpang kasih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramlah (dua dari kiri) bersama tiga daripada empat cucu di rumahnya di Kampung Bentong, Hulu Terengganu baru-baru ini.

HULU TERENGGANU – Biarpun dirinya uzur, namun demi kasih sayang tidak berbelah bahagi, seorang wanita warga emas mengambil tanggungjawab menjaga empat cucunya yang menjadi yatim piatu baru-baru ini.

Ramlah Hasan, 73, berkata, empat cucunya yang berusia dalam lingkungan dua hingga 15 tahun kematian bapa mereka, Wan Saifulnizam Wan Satar akibat asma pada 1 Julai lalu.

Menurutnya, sebelum itu, empat cucunya itu iaitu Wan Rizqi Aidam Firdaus, 2; Wan Syaza Aliya, 8; Wan Syaza Qistina, 12, dan Wan Asrul Afzan, 15, telah kehilangan ibu mereka, Mazalina Mohd. Baru, akibat serangan jantung lebih dua tahun lalu.

“Arwah anak saya (Wan Saifulnizam) membawa anak-anaknya termasuk Wan Rizqi Aidam Firdaus yang ketika itu baru berusia lima bulan tinggal dengan saya setelah kematian isterinya.

“Kini semua cucu-cucu saya itu hilang tempat bergantung selepas ayahnya pula pergi pada awal bulan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di ­Kampung Bentong di sini baru-baru ini.

Ramlah berkata, walaupun agak uzur, dia tekad untuk menjaga keempat-empat cucunya sehingga ke akhir hayat.

Jelasnya, dia tidak sanggup untuk memisahkan cucu-cucunya yang masih kecil selain memenuhi amanat arwah anaknya.

“Selagi ada hayat dikandung badan, saya akan mencurahkan kasih sayang terhadap cucu-cucu yang masih memerlukan belaian.

“Saya baru melengkapkan permohonan bantuan dengan Jabatan kebajikan Masyarakat,” katanya yang dibantu anak-anak lain dalam soal perbelanjaan.

Sementara itu, Wan Asrul Afzan sebagai anak sulong, dia berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan dia dan adik-adiknya.

“Kami reda dengan suratan takdir yang menentukan kini hanya tinggal nenek menjadi tempat kami menumpang kasih,” luahnya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Ramlah bernombor 1150029000179129 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi Wan Asrul Afzan di talian 014-2843363.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI