fbpx

Minta semula barang kemas, tidak puas perlu bayar nafkah anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tergamak bekas suami meminta semula hadiah kahwin berupa barang kemas disebabkan tidak berpuas hati gaji dipotong untuk nafkah anak.

Itu yang diceritakan oleh peguam syarie, Fahmi Ramli berhubung persoalan diterima daripada wanita mengenai bekas suami menuntut semula hadiah kahwin seperti gelang emas, rantai, cincin dan sebagainya.

Bekas suami itu tidak berpuas hati terhadap perintah nafkah anak dan gajinya dipotong setiap bulan masuk ke akaun bekas isteri.

“Bukankah nafkah anak ini wajib, jadi kenapa perlu ‘melenting’ sampai hendak jadi buruk siku?,” katanya pada hantaran Facebook.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, menuntut semula harta yang pernah diberi sebagai hadiah perkahwinan sepatutnya tidak boleh berlaku.

“Nampak sangat perbuatan tersebut dianggap buruk siku. Tapi, nak cakap apa. Ada orang yang tidak hairan pun kalau gelar buruk siku pada dirinya. Murahnya maruah.

“Apa pun, beban kepada orang yang menuntut itu tetap ada. Bukan mudah hendak buktikan barang kemas sebagai harta sepencarian. Sudahlah bukti pemilikan pun susah hendak buktikan. Bukannya ada geran pun kalau beli gelang emas,” ujarnya.

Beliau menasihatkan supaya tidak perlu melibatkan isu nafkah anak dengan masalah peribadi.

“Macam mana sekalipun, nafkah itu tetap wajib bapa berikan pada anak. Mengapa hendak susahkan bekas isteri yang menjaga anak kita sendiri. Jangan jadi buruk siku,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi turut menjelaskan persoalan sama ada boleh atau sebaliknya bekas suami menuntut semula barang kemas yang diberi sebagai harta sepencarian.

“Harta sepencarian adalah harta dibeli dalam tempoh perkahwinan, sama ada dibeli oleh suami atau dibeli oleh isteri. Ia dilihat pada sumbangan terhadap pemerolehan harta tersebut.

“Jika suatu harta itu dibeli sebelum kahwin, maka ia tidak dikira sebagai harta sepencarian atau harta tersebut diperoleh secara pusaka, wasiat atau hibah.

“Namun, kalau harta tersebut ada dimajukan, maka ia boleh bertukar status kepada harta sepencarian. Contohnya, isteri keluarkan sedikit wang untuk mengubah suai dapur rumah yang suami beli sebelum kahwin, maka itu dimaksudkan sebagai dimajukan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI