MELAKA – Kerajaan negeri mencadangkan pembinaan hospital besar baharu Melaka akan dibina di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini menjelang 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya telah mengenal pasti kawasan seluas 24.28 hektar yang dilihat berpotensi dijadikan tapak hospital berkenaan.
Jelasnya, sekiranya cadangan itu diluluskan, Hospital Melaka sedia ada akan ditukar status menjadi hospital daerah.
“Melaka Tengah masih tidak memiliki hospital daerah seperti di Alor Gajah dan Jasin, jadi jika hospital baharu dibina di Durian Tunggal maka hospital sedia ada itu nanti akan dijadikan Hospital Daerah Melaka Tengah.
“Kos pembinaan belum ada buat masa ini dan kita jangkakan hospital ini akan menempatkan sehingga 600 katil, namun sudah tentu ia melibatkan jumlah yang besar dan perlukan perincian lebih teliti daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Kementerian Kewangan.
“Kita jangka kelulusan ini diperoleh pada 2030 dan mengambil masa lima atau enam tahun untuk siap,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE