fbpx

Lebih 14 syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi ditarik lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penguat kuasa KPDNHEP memeriksa minyak masak bersubsidi yang disita kerana terlibat aktiviti penyelewengan hasil serbuan di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 14 buah syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi telah ditarik semula lesen dan sedang dalam proses mahkamah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kesemua syarikat itu dikenakan tindakan berkaitan dengan ketirisan ataupun penyeludupan minyak ke negara jiran.

“Setakat ini kementerian tiada indeks ketirisan, cuma kita sudah menarik balik lebih daripada 14 syarikat (pembungkus minyak masak bersubsidi) dan dalam proses penghakiman di mahkamah berkaitan dengan isu ketirisan atau penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

“Pihak kementerian akan meneliti peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pembungkus minyak masak bersubsidi, bagi memastikan mereka boleh menyumbang untuk mengatasi masalah ketirisan atau kebocoran minyak masak bersubsidi ke luar negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanya sama ada kementerian mempunyai indeks ketirisan serta jumlah syarikat yang ditarik balik lesen kerana menyeleweng minyak masak bersubsidi, selain peranan GLC dalam program minyak masak bersubsidi.

Dalam pada itu, Rosol menjelaskan kerajaan mempertingkatkan lagi penguatkuasaan dengan melakukan pengintipan dan sistem audit, di semua syarikat diberi kebenaran membungkus minyak bagi memastikan tiada kebocoran.

“Pelaksanaan sistem audit ini kita dapat lihat di mana berlaku kebocoran tersebut dan insya-Allah masalah ketirisan atau kebocoran minyak masak bersubsidi ini dapat diatasi dalam masa terdekat walaupun tidak dapat diatasi sepenuhnya tetapi kita cuba mengurangkan masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Baharu) mengenai ikhtiar kerajaan untuk mengoptimumkan subsidi, memastikan ia sampai kepada kumpulan sasar dan penguatkuasaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI