MELAKA – Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (Kriba) yang dijangka beroperasi pada 2030 dapat membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kompleks perubatan itu akan dibina di tapak kolej kejururawatan berhampiran Hospital Melaka dan dikhaskan kepada golongan wanita dan kanak-kanak.
Menurutnya, Kriba kini masih dalam proses kelulusan bajet susulan arahan Kementerian Kewangan yang mahu libat urus dijalankan bagi mengurangkan kos pembinaan.
“Cadangan awal kos Kriba adalah RM1.1 bilion tetapi selepas melakukan libat urus, kos pembinaan sekitar RM700 juta hingga RM800 juta.
“Kita masih menunggu kelulusan Unit Perancangan Ekonomi (Upen) Jabatan Perdana Menteri, namun ia dijangka dibina selewat-lewatnya pada 2025 dan siap pada 2030,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal memberitahu, Kriba bakal menempatkan sebanyak 476 katil, sekali gus dapat membantu Hospital Melaka berikutan akan mempunyai lebihan katil apabila beroperasi kelak.-KOSMO! ONLINE