fbpx

Kerajaan beri dana RM100 juta kepada UDA bangunkan pusat komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (duduk, tengah) bersama Noh Omar (duduk, dua kiri) dan Norliza (duduk, dua kanan) bergambar bersama pada majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA Ke-50 ‘Bersama Meneruskan Legasi’ di Hotel One World di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

PETALING JAYA – Kerajaan menyalurkan dana sebanyak RM100 juta kepada UDA Holdings Berhad (UDA) bagi membangunkan pusat komersial sekali gus membantu usahawan bumiputera mendapatkan ruang perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat supaya UDA dapat menggandakan penglibatan dalam sektor perniagaan dan hartanah bagi merancakkan semula ekonomi.

“Saya menyambut baik penglibatan UDA dalam industri pelancongan, perniagaan dan pembangunan hartanah wakaf.

“Bagi membantu UDA terus membangun, saya mengumumkan dana sejumlah RM 100 juta untuk maksud ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA ke-50 di Hotel One World, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan turut menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan.

“Justeru, saya menyeru agar UDA dapat menjual atau menyewakan ruang-ruang perniagaan sedia ada pada kadar mampu ditanggung oleh usahawan bumiputera.

“Ini untuk membolehkan para usahawan berniaga dalam suasana yang lebih sesuai secara tidak langsung dapat meningkatkan status mereka sebagai usahawan berjaya,” ujarnya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut merasmikan Sambutan Ulang Tahun UDA Ke-50 dan pelancaran ‘Buku UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi’ serta penjenamaan baharu UDA ‘LIFE’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI