PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang juga autisme mengalami kecederaan di telinga, didakwa didera oleh guru dalam kejadian di sebuah sekolah dipercayai di Pulau Pinang.
Maklumat berkenaan kes tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Mona Din malah hantaran wanita itu turut dikongsikan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.
Berdasarkan hantaran yang dikongsi, Mona memberitahu, seorang rakan Facebook menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp berhubung kejadian melibatkan cucunya.
Katanya, murid tersebut mengikuti kelas pendidikan khas telah dipulas telinga oleh seorang guru yang bukan guru kelas kanak-kanak itu.
“Dengarnya pihak hospital telah pun mengesahkan kes ini sebagai kes dera.
“Pihak keluarga memaklumkan merasa sangat terkilan kerana dikatakan semasa perjumpaan dengan pihak sekolah, pihak sekolah telah menyalahkan murid, sehingga menyebabkan cikgu terpaksa memberi hukuman seperti ini,” katanya pada hantaran itu.
Dalam pada itu, Mona berharap perkara itu disiasat oleh polis dan Kementerian Pendidikan dengan telus serta diambil tindakan sewajarnya.
“Semoga sentiasa ada rasa simpati, kasih dan keikhlasan oleh semua pihak dalam menangani anak-anak istimewa.
“Sesungguhnya mereka tidak sempurna (seperti) kita, kerana itu kitalah yang harus memahami mereka. Anak istimewa untuk dididik dan disayangi, bukan disakiti,” katanya.
Difahamkan, seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak tersebut turut berkongsi kejadian itu di dalam kumpulan Facebook Autisme Malaysia. – KOSMO! ONLINE