PADA usia 16 tahun, Aisyah Hanna Amani Saifin Nuha telah melalui peristiwa sedih apabila kehilangan kasih sayang daripada seorang bapa.
Bapanya yang ketika itu berusia 54 tahun telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Dr. Kariadi, Jawa Tengah, Indonesia akibat menderita penyakit kanser hati.
Meskipun pemergian bapanya telah lama berlalu, namun gadis yang kini berusia 23 tahun itu masih mengingati setiap detik-detik indah ketika mereka bersama.
Bagi melepaskan rindu, ada ketikanya gadis berasal dari Kuala Lumpur itu akan menonton kembali beberapa filem yang pernah dibintangi bapanya.
Untuk makluman, Saifin Nuha atau nama pentasnya, Alex Komang merupakan pelakon filem, drama dan teater terkemuka dari Indonesia dan turut terkenal di negara ini.
Komang pernah meraih pelbagai anugerah termasuk Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Indonesia pada 1987 hasil lakonannya dalam filem Ibunda, Mementos dan Secangkir Kopi Pahit.
Menariknya, beliau juga pernah membintangi beberapa filem dan drama terbitan Malaysia termasuk Puteri Gunung Ledang, Sumpah Pocong di Sekolah dan Anak Setan.
“Bapa saya memang berasal dari Indonesia dan makamnya juga di sana, tetapi ibu saya berasal dari Pahang. Ramai tidak tahu bapa saya seorang pelakon terkenal.
“Saya pernah tinggal di Indonesia dari usia setahun hingga 10 tahun. Kemudian, kami berpindah ke Malaysia sehingga sekarang.
“Ramai tidak tahu bahawa bapa saya seorang pelakon terkenal Indonesia. Ini kerana, orang tempatan tidak kenal sangat, kalau saya beritahu baru mereka cari dekat Google,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.
Memandangkan bapanya seorang anak seni, Aisyah Hanna memilih untuk menyambung pengajian diplomanya dalam persembahan seni di KDU University College selama dua tahun.
Sepanjang menuntut di situ, anak bongsu daripada tiga beradik itu cukup aktif dalam seni tarian, lakonan serta tugas-tugas di belakang tabir.
Malah, dia juga sempat bekerja sambilan di belakang tabir serta menimba ilmu bersama pelakon dan penerbit terkenal tempatan, Puan Sri Tiara Jacquelina.
Selepas berjaya mendapat diploma, Aisyah Hanna melalui dilema yang panjang untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Persembahan Seni.
“Ketika itu, dunia baru dilanda pandemik Covid-19 dan ia belarutan agak lama. Saya jadi takut untuk meneruskan pengajian dalam bidang Persembahan Seni kerana bimbang tiada kerja pada masa depan.
“Disebabkan itu, saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Media di Universiti Malaya (UM), namun minat saya dalam bidang seni tidak pernah padam memandangkan ia legasi daripada bapa,” terangnya.
Meskipun baru memasuki tahun kedua pengajian, namun Aisyah Hanna sudah mempunyai cita-cita yang jelas mengenai masa depannya selepas mengambil jurusan tersebut.
Katanya, Aisyah Hanna berhasrat menjadi wartawan penyiaran di stesen televisyen memandangkan dia berasa cukup selesa berada ketika di hadapan kamera.
“Memandangkan saya bekas pelajar pementasan seni, jadi saya sudah biasa tampil di depan kamera. Sebab itu, saya bercita-cita menjadi wartawan televisyen berbanding penulisan,” jelasnya.
Buat masa ini, Aisyah Hanna banyak memberi tumpuan pada pengajian memandangkan ia masih baharu buatnya dan berhasrat untuk mengaktifkan diri dalam persatuan dan kelab pada tahun kedua pengajian.