MELAKA – Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan fungsi sebenar Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) apabila badan itu dilihat seolah-olah menjadi model kepada pemaju-pemaju perumahan untuk mengusahakan tanah adat di negeri ini.
Adly Zahari (PH-Bukit Katil) berkata, peranan Pertam dilihat bertindih dengan Lembaga Perumahan Melaka, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan pemaju perumahan.
Tegasnya, setakat ini tiada jaminan pemilik yang terlibat dengan tanah adat boleh kekal memiliki kekayaan atau tanah tersebut dalam tempoh jangka panjang.
“Kita lihat contoh penternakan lembu di Belanda yang mana kerajaan sudah membantu penternak dengan nilai jutaan ringgit dan apabila mereka (penternak) tidak boleh mewariskan kepada generasi seterusnya, maka kerajaan ambil alih tanah tersebut.
“Kerajaan bukan mengambil alih pemilikan tanah tetapi proses itu sahaja, keuntungan yang diperoleh akan dibahagi dua antara kerajaan dan pemilik. Kalau tanah adat ini digunapakai, persoalannya sampai bila?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Negeri Melaka pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.
Pada masa sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mencadangkan pindaan bagi meluaskan lagi ruang lingkup pemakaian enakmen selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Melaka.
Adly yang juga Ketua Pembangkang DUN menambah, berdasarkan laporan audit, tanah adat yang ada di negeri ini tidak melebihi 26 peratus, malah di beberapa kawasan jumlah itu lebih rendah.
Menurutnya, Pertam dilihat akan lari daripada tujuan asal jika memajukan tanah selain tanah adat.
RUU tersebut diluluskan dengan 19 undian menyokong, tujuh berkecuali dan dua tidak hadir. – KOSMO! ONLINE