GREEN BAY (AMERIKA SYARIKAT) – Penggempur baharu Manchester City, Erling Haaland hanya memerlukan 12 minit untuk membuka akaun jaringannya bersama Manchester City ketika meledak gol tunggal perlawanan menewaskan Bayern Munich dalam aksi persahabatan pramusim awal pagi semalam.
Biarpun terlepas untuk melakukan debut ketika kemenangan 2-1 ke atas Club America, Khamis lalu, Haaland memastikan penampilan pertamanya menentang gergasi Jerman itu dengan membuktikan sentuhan penyudah berbisa dimilikinya.
Kejayaannya ini seakan memberi amaran kepada pencabar lain bahawa dia sedang berada dalam keadaan terbaik untuk terus merobek gawang lawan pada saingan Liga Perdana Inggeris musim baharu nanti.
Pengurus City, Pep Guardiola juga percaya bintang utamanya itu sedang berada di landasan terbaik untuk mengembalikan tahap kecergasan dan prestasi terbaiknya.
“Dia berdepan beberapa masalah ketika bersama Borussia Dortmund, musim lalu. Kami sedang mencuba memperbaikinya, namun ia bukanlah satu isu besar buat kelab ini.
“Kami akan terus menjaga pemain. Apabila kami kembali ke dalam saingan, kami mahu berada dalam keadaan terbaik, pemain dalam keadaan cergas dan bersedia untuk menghadapi aksi akan datang,” katanya.
Selain itu, seorang lagi bintang The Citizens, Jack Grealish juga dapat merasakan aura yang dibawa Haaland ke dalam bilik persalinan pasukan dan menyifatkan pemain berusia 22 tahun itu pasti akan memberikan kesukaran kepada pencabar lain.
“Sejak kali pertama saya berjumpa dengannya, saya dapat rasakan yang dia seorang pemain yang cukup hebat. Dia seorang yang sentiasa merendah diri.
“Dia mengharungi latihan dengan cukup baik dan saya yakin apabila dia kembali mendapatkan tahap kecergasan terbaik, dia pasti sukar untuk disekat. Saya tidak sabar untuk bermain bersamanya,” jelasnya. – AGENSI