SEBERANG PERAI – Dua lelaki yang memiliki karkas babi yang disembelih di rumah penyembelihan tidak berlesen masing-masing dikenakan denda RM4,000 dan RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Oon Kean Wong, 51, dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Mohd Harith Mohd. Mazlan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Kean Wong didapati membawa 167 kilogram karkas babi tanpa tanda pengenalan ketika ditahan Pihak Berkuasa Veterinar yang memeriksa kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di Kilometer (KM) 132.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan menghala Bukit Mertajam kira-kira pukul 3.50 pagi, 2 Jun lalu.
Sementara itu, Kho Eng Phoo, 43, pula didakwa membawa 261 kilogram karkas babi yang turut disembelih di luar rumah sembelihan tanpa sebarang lesen sah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd Harith kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Kean Wong manakala Eng Phoo didenda RM4,500.
Mahkamah turut memerintahkan karkas babi yang sudah diperiksa dan disahkan tidak sesuai dijadikan makanan manusia dilupuskan dan motolori dikembalikan semula kepada tertuduh. Kedua-dua tertuduh membayar denda. -KOSMO! ONLINE