PETALING JAYA – Selepas rakan baiknya juga penyanyi Wany Hasrita bertukar status menjadi isteri, penyanyi Amira Othman mengakui dihujani soalan tentang perancangan naik pelamin.
Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, 29, menjelaskan, khalayak menganggap dirinya seorang yang perahsia terutama berhubung isi hati dan selama ini mengambil pendekatan sama seperti Wany iaitu menyembunyikan kisah peribadi daripada pengetahuan umum.
Tegas pelantun Hati Hati itu, dia sememangnya tiada sebarang perancangan untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
“Jodoh ini kan macam rezeki dan juga ajal, tiada siapa tahu. Cukuplah saya memberi jawapan, saya memang tiada perancangan lagi untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
“Ramai ingat saya berahsia, tetapi saya tidak menyembunyikan apa-apa. Tetapi inilah jawapan jujur daripada saya. Kalian doalah yang baik-baik tau,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.
Dalam perkongsian sama, dia turut dengan memuat naik foto ketika menghadiri majlis akad nikah Wany yang berlangsung Jumaat lalu.
Terdahulu, disebabkan hubungan bahkan berkawan baik dengan Wany, ramai peminat mendoakan hal serupa kepada Amira agar suatu hari nanti, gilirannya bakal tiba dan dipertemukan jodoh sejati.
“Penuh direct message (DM) saya kalian ucap dan doa macam-macam yang baik-baik. Terima kasih atas doa yang baik-baik,” katanya lagi.
Sementara itu menerusi perkongsian dalam InstaStory merujuk hantaran dimuat naik tersebut, Amira mengakui dia enggan lagi menjawab soalan tentang jodoh selepas ini.
“Okey baca kapsyen. Tak nak jawab lagi soalan pasal jodoh. Bagi saya tenang-tenang, nanti jodoh sampai saya ‘update’,” selorohnya.
Sebelum ini, Amira pernah mendedahkan dia menyasarkan ingin berkahwin sebelum menginjak usia 30 tahun tetapi setakat ini belum ada bayangan jodoh.
Malah baru-baru ini, penyanyi itu juga meminta peminat agar mendoakan dia bertemu dengan jodoh terbaik, seterusnya dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. – KOSMO! ONLINE