fbpx

Verstappen tawan GP Perancis berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Max Verstappen memperoleh kemenangan ketujuhnya pada musim ini selepas menjulang kemenangan di Grand Prix Perancis.

LE CASTELLET – Max Verstappen terus gah mengemudi carta kedudukan pendahulu perlumbaan Formula Satu (F1) ketika ini selepas melakar kemenangan dramatik di Grand Prix (GP) Perancis sebentar tadi.

Verstappen yang melakar kemenangan di Perancis musim lalu mempamerkan pemanduan cemerlang sepanjang perlumbaan di Litar Paul Ricard sebentar tadi selepas tidak dicabar mana-mana pelumba sekali gus melebarkan kemenangan ketujuhnya musim ini.

Pelumba Ferrari, Charles Leclerc yang pada mulanya menjadi pencabar kepada Verstappen selepas mendahului perlumbaan itu gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabas di selekoh 11 ketika perlumbaan baru memasuki pusingan ke-18.

Kegagalan Leclerc menamatkan saingan terus membuka ruang kepada Verstappen mendahului carta kedudukan pemandu dengan kelebihan 63 mata selepas mengumpul 233 mata setakat ini.

“Pada saingan hari ini, kami mempunyai rentak perlumbaan yang sangat baik dari awal, saya memberi tekanan kepada Leclerc. Keadaan bertambah sukar kerana tayar terlalu panas.

“Saya ambil keputusan untuk bertenang kerana Ferrari benar-benar laju pada saingan tersebut. Malang menimpa Leclerc dan ketika itu saya harap dia tidak apa-apa.

“Dari situ saya hanya fokus pada perlumbaan saya dan menjaga tayar kerana ia mula hilang cengkaman. Secara keseluruhan saya gembira dengan kemenangan ini,” kata Verstappen.

Sementara itu, pasukan Mercedes mencatat keputusan positif di Perancis apabila meraih podium berganda selepas Lewis Hamilton berjaya menamatkan perlumbaan tempat kedua buat kali pertama musim ini.

George Russell mengiringi Hamilton ke podium selepas menamatkan saingan tempat ketiga selepas bijak memintas Sergio Perez (Red Bull) pada penghujung perlumbaan. – KOSMO! Online.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI