PETALING JAYA – Usia 27 tahun dan masih bujang, tetapi hutang begitu banyak mencecah lebih RM25,000 untuk kad kredit ditambah pinjaman peribadi sebanyak RM180,000.
Belum campur lagi hutang dengan kawan malah, bayaran kepada bank juga sudah mula ‘sangkut’ satu hingga dua bulan.
Itu yang diceritakan oleh perunding kewangan dan pelabur hartanah, Ky Tee berhubung situasi dihadapi oleh seorang individu yang meminta bantuannya berkaitan pengurusan kewangan.
“Lepas semak maklumat peribadi, saya pening kepala. Dia baru berusia 27 tahun dan masih bujang dengan gaji bersih dalam RM5,000. Tapi ada banyak hutang, tidak ada sebarang hartanah.
“Dia ada hutang kad kredit lebih RM25,000, sekarang sedang bayar minimum ansuran lima peratus iaitu RM1,250. Ada hutang pinjaman peribadi RM180,000 dengan ansuran RM1,600. Ada sebuah kereta baharu beli dengan ansuran RM1,200,” katanya pada hantaran di laman Facebook.
Beliau berkata, dia juga turut berhutang dengan kawan sebanyak RM8,000 sekali gus perlu dibayar.
“Ada hutang dengan kedai motosikal dalam RM5,000 manakala, bayaran hutang bank sudah mula ‘sangkut’ dalam satu hingga dua bulan. Jadi dia minta bantuan saya.
“Saya beritahu kes ini tidak dapat dibantu dan saya nasihat dia pergi ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk dapatkan cara dan idea daripada perunding sana, mungkin ada jalan,” jelasnya.
Katanya lagi, beliau sudah banyak kali berjumpa dengan kes sebegitu melibatkan individu masih muda tetapi memiliki banyak hutang serta tidak mempunyai sebarang hartanah atau aset. -KOSMO! ONLINE