fbpx

Tuah Adzmi tak malu kerja kilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUAH ADZMI

IBARAT kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Demikian nasib dialami penyanyi muda, Tuah Adzmi dalam ‘mengais’ rezeki sebagai penyanyi.

Bukan hendak menyalahkan takdir dan rezeki yang sudah ditetapkan, namun keberadaannya dalam industri seni sebagai penyanyi masih belum cukup untuk menyenangkan hidupnya.

Siapa kata bergelar artis itu menjadi ‘tiket’ untuk seseorang hidup bersenang-lenang dan dilimpahi dengan kemewahan? Barangkali betul, namun semuanya bergantung dengan rezeki masing-masing.

Seperti yang dialami Tuah, dia pernah berdepan saat getir ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ekoran penularan Covid-19 sehingga terpaksa menjual kereta jenis Mini Cooper kesayangannya. Semuanya terpaksa dilakukan kerana terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sedar keadaan sekarang yang masih belum pulih sepenuhnya ditambah pula dengan inflasi, Tuah mengakui kembali bekerja sebagai pembantu stor di sebuah kilang mencetak al-Quran untuk meraih pendapatan tetap jika tidak mempunyai undangan mengadakan persembahan pentas.

Pemilik nama sebenar Arumi Nafis Mohd. Adzmi, 24, itu berkata, pengalaman melalui waktu sukar sebelum ini membuatkan dia lebih memikirkan masa depan untuk memiliki pendapatan tetap.

“Saya kembali bekerja di kilang tersebut tetapi hanya separuh masa. Jadi saya boleh ambil cuti pada bila-bila masa jika menerima undangan menyanyi.

“Pengalaman melalui waktu sukar sebelum ini membuatkan saya lebih berhati-hati. Kita tidak tahu sekiranya masalah kewangan akan terjadi lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Tuah yang sebelum ini pernah memberitahu sudah meletakkan jawatan kerana mahu memberi fokus terhadap kerjaya seni enggan meletakkan status selebriti sebagai halangan untuk kembali bekerja di kilang.

Katanya, dia perlu berbuat demikian untuk mencari pendapatan stabil supaya dapat menampung perbelanjaan hariannya.

“Saya sudah terbiasa bekerja keras mencari rezeki sendiri selepas kematian arwah bapa ketika berusia enam tahun.

“Bagi saya, status seorang artis itu tidak penting. Apa yang menjadi keutamaan ialah saya dapat membantu ibu. Kerja ini juga merupakan satu peluang untuk saya meneruskan hidup.

“Syukur kehidupan sekarang semakin stabil. Saya juga ada buat perniagaan sendiri. Kita perlu bijak mencari peluang dan pendapatan,” ujarnya yang turut menjalankan perniagaan menjual pakaian.

Sementara itu, bercakap tentang perkembangan kerjaya, Tuah baru sahaja melancarkan lagu baharu berjudul Dusta Cinta yang sudah boleh distrim menerusi semua platform penstriman sejak sebulan lalu.

Melihat trend muzik semasa, Tuah mengambil langkah berani tampil dengan sebuah lagu yang menonjolkan elemen muzik seperti era 1990-an.

“Biasanya penyanyi lain akan cover lagu-lagu lama, tetapi saya tampil dengan lagu baharu yang ada elemen slow rock era 1990-an. Saya rakamkan lagu baharu dengan nafas muzik lama.

“Saya membesar dengan lagu-lagu yang popular zaman itu. Semoga karya kali ini dapat diterima baik pendengar,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI