fbpx

Tiga pulau di Melaka diisytihar Taman Laut Negara hujung tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak sembilan tukun tiruan konservasi dilabuhkan di kawasan Pulau Nangka, Melaka hari ini. /FOTO RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Proses pewartaan tiga pulau premium Melaka iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol sebagai Taman Laut Negara kini diperingkat akhir dan dijangka diisytiharkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, cadangan tersebut telah pun diluluskan di peringkat kerajaan negeri dan sedang diperhalusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Ujarnya, sehingga kini kementeriannya telah mengeluarkan peruntukan sejumlah RM1 juta dalam usaha merealisasikan pewartaan itu merangkumi projek melabuhkan tukun-tukun tiruan konservasi di kawasan pulau.

“Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol ini sebenarnya kaya dengan habitat dan mempunyai satu khazanah tersendiri iaitu terumbu karang yang unik di peringkat antarabangsa.

“Jadi kita telah cadangkan untuk ia diwartakan dan kini proses pewartaan itu berada di peringkat akhir, pulau-pulau ini nanti dijaga dengan baik termasuk larangan aktiviti perikanan dalam jarak satu batu nautika,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbae selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tukun Tiruan dan Mengelilingi Pulau-Pulau Taman Laut Negeri Melaka di Pulau Undan di sini, hari ini.

Tambahnya, selain tiga pulau premium itu, terdapat 13 buah pulau yang lain termasuk Pulau Hanyut, Pulau Lalang dan Pulau Serimbun yang juga berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan.

Mengulas lanjut mengenai pewartaan beliau berkata, ketiga-tiga pulau itu akan dilindungi di bawah Seksyen 41, Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

“Melalui perwartaan ini, kelestarian kepelbagaian biodiversiti marin di kawasan perairan Melaka akan terjamin bagi mencapai obligasi negara di peringkat antarabangsa iaitu Aichi Biodiversity Targets di bawah Convention on Biological Diversity.

“Kekayaan dan kepelbagaian biologinya yang mempunyai nilai ekonomi dan nilai komersial tinggi perlu diurus dan dipelihara sebaiknya agar memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Terdahulu pada program itu, sebanyak sembilan tukun tiruan konservasi dilabuhkan di kawasan Pulau Nangka melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI