PUTRAJAYA – “Jika dia di lautan saya pohon ditimbulkan dan jika di perut bumi saya mohon ditunjukkan arah dimana dia harus dicari”.
Itu rintihan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang kini sedang menjejaki sahabat baiknya iaitu bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dikatakan hilang sejak November tahun lalu.
Ras Adiba ketika ditemui hari ini berkata, beliau kekal optimis bahawa sahabat baiknya itu masih hidup malah akan terus menjejaki Zalina sehingga ditemui.
“Ada orang tanya pada saya, adakah Zalina masih hidup? Saya kata saya seorang yang optimis dan saya akan terus mencari sahabat saya.
“Zalina, walau di mana anda berada hubungilah kita semua dan pergilah ke balai polis dan hospital terdekat dan beritahu ‘Hai! sayalah Zalina Azman dan saya perlukan bantuan’.
“Ini adalah perkara yang sukar untuk saya terima kerana saya terlepas pandang sahabat saya hilang. Justeru, saya akan berterusan mencarinya tidak kira berapa lama dan berapa jauh walaupun saya sibuk dengan pelbagai urusan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Antirasuah Bersama Komuniti Orang Pekak di sini hari ini.
Katanya, beliau sempat bertemu dengan ahli keluarga Zalina terutama dua anaknya iaitu Mikael, 33, dan Ryan, 14, serta abang Zalina dikenali sebagai Hans semalam dan mereka akui resah dengan kehilangan Zalina.
Ras Adiba berkata, tiada sebarang konflik atau sebarang masalah dikongsi ahli keluarga Zalina berkait kehilangan itu sebaliknya mereka juga buntu dengan apa yang berlaku. – KOSMO! ONLINE