fbpx

Pesakit cacar monyet lolos diberkas di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gejala cacar monyet pada wajah lelaki berkenaan dipaparkan kepada media dalam satu sesi taklimat di Phuket, Jumaat lalu. – Bangkok Post

PHNOM PENH, KEMBOJA – Polis Kemboja semalam memberkas seorang lelaki Nigeria yang melarikan diri ke negara itu dari Thailand selepas disahkan dijangkiti wabak  cacar monyet, lapor akhbar Bangkok Post.

Kes cacar monyet  dikesan  di Phuket awal minggu lalu itu adalah yang pertama di Thailand setakat ini.

Menurut Bangkok Post yang memetik akhbar Khmer Times,  tangkapan itu dibuat petang semalam di sebuah pasar di Phnom Penh.

Selepas ditahan, lelaki berusia 27 tahun itu diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Kemboja. Pihak berkuasa negara itu turut mula mengesan kontak lelaki berkenaan dan lokasi dia berada sebelum memasuki Kemboja.

Dia dipercayai memasuki Kemboja kelmarin  selepas isyarat daripada telefon bimbitnya dikesan di wilayah sempadan Thailand, kata Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Opas Karnkawinpong.

Beberapa laporan media Kemboja sebelum itu menyatakan  bahawa lelaki berkenaan mungkin menuju ke sebuah pekan pinggir pantai di Sihanoukville. 

Bagaimanapun, laporan terkini mendakwa bahawa dia mungkin menuju ke Phnom Penh, yang menempatkan sebahagian besar komuniti ekspatriat Nigeria di Kemboja, lapor Khmer Times.

Kata Opas, lelaki berkenaan melarikan diri dengan bantuan beberapa individu, sambil menambah, polis akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang membantunya melarikan diri.

Lelaki berkenaan dilaporkan menaiki penerbangan Ethiopian Airlines dengan nombor penerbangan ET0618 ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand pada 21 Oktober lalu. Dia menggunakan visa bukan imigran bagi mempelajari bidang bahasa di sebuah universiti di Chiang Mai.

Pegawai di Phuket berkata, lelaki tersebut pergi ke sebuah hospital swasta di pulau itu pada 16 Julai lalu, seminggu selepas dia mengalami demam, batuk, sakit tekak dan selesema.

Dia turut mengalami ruam dan luka di bahagian kemaluannya yang seterusnya melarat ke bahagian  anggota badan lain termasuk wajahnya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI