KOTA BHARU – Dua pengedar antara 34 individu yang dicekup dalam Op Tapis yang dijalankan selama tiga hari bermula Khamis lalu di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang, di sini baru-baru ini.
Tangkapan yang dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan itu turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM230,000 dan wang tunai berjumlah RM650.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok dekat Rantau Panjang kira-kira pukul 2.36 pagi kelmarin telah membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 23 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan pada lelaki itu telah menemui sebanyak 100 botol heroin yang dianggarkan bernilai RM200,000.
“Siasatan awal mendapati, kesemua heroin yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan ia akan dijual untuk pasaran di Kelantan.
“Kita masih menjalankan siasatan terhadap suspek yang positif dadah jenis morfin sama ada sudah lama aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah atau sebaliknya,”katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, sebelum penahanan pengedar heroin itu, polis memberkas seorang buruh berusia 34 tahun di hadapan sebuah rumah di Kampung Repek, Pasir Mas kira-kira pukul 5.06 pagi pada Khamis lalu.
Menurutnya, dalam tangkapan itu, polis merampas sebanyak 2,000 biji pil kuda yang bernilai RM20,000 selepas memeriksa sebuah kereta jenis dan menemui bungkusan yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.
“Berdasarkan semakan, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula tarikh mereka ditangkap dan kes disiasat mengikut Selsyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE