PROGRAM penswastaan liga yang telah dilaksanakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sejak musim lalu telah berjaya mengurangkan sedikit sebanyak masalah tunggakan gaji yang ‘sinonim’ dengan kancah Liga Malaysia.
Pandangan tersebut disuarakan oleh Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang percaya pihak pengurusan kini lebih bertanggungjawab dan berusaha untuk melunaskan gaji pemain meskipun ada ketika terlewat daripada tarikh yang dinyatakan dalam kontrak.
Kata Ghani, pengurangan jumlah tunggakan gaji yang dilaporkan ketika ini juga memberi petanda positif kepada MFL selepas melakukan rombakan saingan Liga M bermula musim depan.
“Masalah tunggakan gaji memang ada, tetapi tidak melibatkan semua pasukan, hanya satu atau dua pasukan. MFL juga kerap melakukan penelitian daripada aspek pelesenan bagi memastikan tiada masalah berbangkit.
“Secara keseluruhan, kita lihat pun bukan pasukan gagal (bayar gaji), tetapi lambat bayar. Jika lewat pun (pasukan) tetap bayar dan bukan tidak bayar langsung seperti yang pernah berlaku dengan pasukan Perlis.
“Kalau dahulu pembayaran gaji (tertunggak) ini hampir RM20 juta tetapi musim ini, tidak banyak yang dilaporkan sekitar RM3 juta ke RM4 juta sahaja di peringkat pasukan terbabit.
“Mungkin penswastaan liga apabila pertukaran persatuan bola sepak (FA) ke pasukan bola sepak (FC) menjadi salah satu faktor perubahan ini sejajar dengan kehendak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya.
Sementara itu, Ghani turut optimis penstrukturan Liga Super yang menyaksikan 18 pasukan akan bertanding pada tahun depan tidak akan memberi perubahan ketara dan dapat dilangsungkan dengan lancar.
“Kita perlu pastikan perjalanan liga yang membabitkan 34 perlawanan itu berjalan dengan lancar. Mungkin akan ada kelemahan dalam proses itu nanti tetapi kita akan perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.