SEKITAR Disember tahun lalu, ikatan suci pernikahan pelakon Shakilla Khoriri dan pasangannya, Fizi Ali menemui titik noktah.
Agak mengejutkan banyak pihak kerana selama ini mereka langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keretakan hubungan, namun itulah takdir yang sudah direncana Maha Esa.
Diam tidak diam, sudah lebih setengah tahun Shakilla dan Fizi yang juga penyampai radio Suria FM membawa haluan masing-masing secara baik.
Meskipun memilih untuk berpisah, pasangan yang berkahwin pada 18 Februari 2018 itu masing-masing peka dengan tanggungjawab terhadap puteri kesayangan mereka, Nurul Ameena Sofea.
Sebagai ibu bapa, itu amanah yanfg harus dijaga sampai akhir usia.
Bagi Shakilla, dia menerima takdir tersebut sebagai ketentuan yang telah tertulis dalam lembaran hidupnya dan menganggap semua yang berlaku ada hikmah tersirat.
“Pejam celik, lebih setengah tahun saya dan Fizi membawa haluan hidup masing-masing. Jujur walaupun sudah berpisah sebagai suami isteri, tetapi hubungan sesama manusia masih dijaga.
“Itu semua disebabkan anak kami, Ameena. Saya tidak pernah tanam apatah lagi semai sedikit pun perasaan benci, amarah dan dendam kepada dia.
“Kalau cakap bab sayang, ya jujur saya masih sayangkan dia. Dia pernah ada dalam hati saya. Tetapi cinta itu sudah lama mati. Kami saling pikul tanggungjawab demi masa depan anak tersayang,” katanhya saat ditemui usai pratonton drama terbaharunya terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjudul Bukan Khadijah minggu lalu.
Kembali terjalin
Meneruskan perkongsian, wanita berusia 33 tahun itu menyifatkan, hubungannya dengan Fizi tidak mungkin terjalin kembali kerana hati masing-masing sudah tertutup rapat.
“Hati kita berbolak-balik, tetapi secara jujur kalau ditanya, saya sendiri memang sudah tiada hati untuk rujuk atau kembali bersamanya.
“Bukan saya sahaja, saya juga tahu dia merasakan perkara sama. Dia juga sudah tiada hati dengan saya. Jadi kalau masing-masing sudah tiada hati, mahu tunggu apa lagi?
“Benda itu (hati dan perasaan) mana kita boleh paksa. Sayang tidak semestinya cinta. Jadi untuk apa kita bertahan dan terus memendam rasa?” luahnya.
Jelas pelakon drama Saat Kau Takluk Cinta Ini itu lagi, buat masa ini apa yang paling penting adalah masa depan puteri mereka yang perlu diutamakan waima apapun terjadi kelak.
“Apa yang kami lakukan kini semuanya demi anak. Hubungan yang masih bertahan sebagai sesama manusia ini pun disebabkan anak. Tiada sebab lain.
“Kami saling menyalurkan semangat antara satu sama lain. Fizi juga tidak pernah abaikan tanggungjawabnya sebagai bapa. Saya yakin, anak juga seakan-akan sudah memahami apa yang berlaku antara kami berdua,” kata Shakilla.
Menyimpul kata, pelakon itu memberitahu, dia bersyukur kerana banyak pihak sehingga kini tidak pernah henti memberikan sokongan moral kepadanya untuk terus bangkit dan kuat sebagai ibu tunggal dan wanita.