fbpx

Atlet muda Jepun juara Ironman 70.3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenshin Mizushima dari Jepun menjuarai perlumbaan Ironman 70.3 Desaru Coast di Desaru, Kota Tinggi hari ini. /FOTO RAJA JAAFAR ALI

KOTA TINGGI – Atlet muda Jepun, Kenshin Mizushima, 21, menjuarai Ironman 70.3 Desaru Coast 2022 bagi kategori lelaki 18 hingga 24 tahun di Desaru, di sini hari ini.

Pelajar jurusan Sains Kesihatan dan Sukan di Universiti Mae Fah Luang, Thailand itu menamatkan saingan dengan catatan masa 4 jam 18 minit 22 saat menewaskan 1,474 peserta lain.

Kenshin merasa cukup puas hati setelah usaha kerasnya berlatih sejak tiga bulan lalu membuahkan hasil setelah berjaya merekodkan masa terbaiknya bagi kejohanan Ironman keduanya.

“Saya sangat gembira dengan rekod terbaik ini, tak pernah sampai ke tahap ini (menamatkan saingan di tempat pertama). Bagi saya, berenang dan larian adalah disiplin mencabar kerana laluan yang berbukit.

“Saya menyasarkan untuk menamatkan saingan 4 jam 15 minit pada acara ini, namun tidak kesampaian. Jadi, saya akan berusaha keras untuk meraih rekod di bawah 4 jam pada Ironman 70.3 pada tahun depan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kenshin akan mengisi slot untuk menyertai Ironman 70.3 World Championship di Finland pada 26 dan 27 Ogos 2023.

Sementara itu, Teh Kuok Yuen, 35, merupakan peserta Malaysia terpantas menamatkan saingan Ironman 70.3 atau dikenali Half Ironman.

Kuok Yuen yang merupakan jurutera itu akui berdepan tugas sukar untuk menamatkan saingan setelah alami kekejangan ketika disiplin terakhir iaitu larian.

“Saya pernah menyertai banyak kali acara Ironman 70.3 dan ini adalah paling mencabar. Ketika melakukan disiplin terakhir (larian), saya alami kekejangan dan tidak pasti mampu menamatkan perlumbaan.

“Catatan masa pada kali ini sedikit lambat berbanding masa terbaik yang pernah direkodkan iaitu 4 jam 15 minit. Saya berharap dapat melakukan yang terbaik pada edisi Yang akan datang.

Kuok Yuen yang memperoleh slot untuk World Championship New Zealand 2024 akan memanfaatkan peluang sekiranya mendapat slot ke Ironman World Championship Finland pada tahun depan.

Sementara itu, atlet kebangsaan, Serena Yang Chen Yin akui berjaya mengatasi fobia setelah jadi peserta wanita terpantas menamatkan saingan pada catatan masa 5 jam 28 minit 57 saat

Chen Yin yang pernah beraksi pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia turut berkongsi pengalaman pernah gagal menamatkan perlumbaan pada triathlon kedua yang disertai di Thailand sebelum ini.

“Bagi saya ini adalah saingan yang mencabar kerana laluan larian yang berbukit, bagaimanapun saya lega dapat merekodkan masa terbaik berbanding masa yang saya sasarkan iaitu di bawah 6 jam.

“Pengalaman beraksi di pentas antarabangsa sedikit sebanyak membantu saya walaupun tidak biasa bagi acara jarak jauh. Hasil latihan yang dibuat sejak empat bulan lalu, saya mampu melakukan prestasi terbaik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI