Oleh MUSTAQIM MOHAMED
KOTA BHARU – Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Kelantan yang berlangsung di pekarangan Stadium Muhammad IV di sini sejak Jumaat lalu berjaya mencatat jumlah kehadiran pengunjung tertinggi sejak hari kedua ia dilangsungkan.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, jumlah kehadiran pada hari kedua JAKM telah berjaya mencecah 57,000 pengunjung.
“Jumlah itu tidak termasuk dengan pengunjung yang tidak mendaftar kehadiran mereka. Saya rasa, jumlah kehadiran keseluruhan mungkin akan mencecah 70,000 atau 80,000 dan mungkin sehingga 100,000 pengunjung.
“Ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan dan saya harap ia akan memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat di Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Lelong JAKM di pekarangan Stadium Muhammad IV di sini hari ini.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berharap, dengan pendedahan daripada pameran-pameran dan aktiviti-aktiviti dilaksanakan, matlamat program jelajah itu akan tercapai.
Menurutnya, program hari terakhir JAKM Kelantan akan diteruskan sehingga lewat malam ini termasuk tayangan filem pecah panggung, Mat Kilau. – KOSMO! ONLINE