fbpx

Yang sakit bersabar, yang sihat beringat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

TIADA siapa yang ingin ditimpa musibah. Baik musibah bencana seperti banjir dan ribut, mahupun musibah dari segi kesihatan diri.

Malah, hati ibu bapa mana yang tidak bimbang saat melihat anak kecilnya diuji dengan kesakitan. Kesakitan itu boleh datang dalam pelbagai cara. Mungkin sahaja kerana demam, batuk ataupun selesema.

Sejak kebelakangan ini, macam-macam cerita tentang kesihatan dan kesakitan berlegar dalam masyarakat. Ada sahabat yang kembali dijangkiti Covid-19, dan ada juga yang dibebani dengan virus influenza.

Musibah yang berlaku ini secara tidak langsung telah melumpuhkan aktiviti keluarga buat seketika. Anak-anak terlepas sesi pembelajaran apabila tidak dapat hadir ke sekolah. Ibu bapa pula terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak di hospital ataupun di rumah.

Situasi tersebut tidak hanya berlaku di bandar-bandar utama, malah penduduk di desa turut berdepan musibah sama.

Penyakit seperti influenza ini memang mudah berjangkit. Jangkitan virus berkenaan akan menyerang sistem pernafasan iaitu hidung, tekak dan paru-paru. Ia cukup sakit dan dikatakan lebih teruk berbanding Covid-19.

Tidak cukup dengan kesakitan, isu kekurangan ubat-ubatan turut menimbulkan keresahan orang ramai.

Ubat demam, batuk dan selesema yang sebelum ini mudah dibeli di kedai-kedai runcit dan farmasi, kini semakin sukar diperoleh.

Premis kesihatan termasuk klinik kerajaan turut dipenuhi para pesakit sehingga lewat malam. Berpusu-pusu ibu bapa membawa anak mereka yang sakit. Ada yang terpaksa menunggu untuk tempoh yang lama semata-mata bagi mendapatkan rawatan.

Bagi yang berkemampuan, mereka mungkin mempunyai lebih banyak pilihan. Sama ada mahu ke klinik swasta ataupun terus merujuk kepada hospital pakar.

Hakikatnya, kesakitan itu tidak mengira darjat mahupun kedudukan. Orang kurang kemampuan diuji dengan kesakitan dan begitu juga dengan orang berharta.

Bezanya adalah bagaimana seseorang itu menghadapi musibah dan ujian yang datang. Sesungguhnya, hanya kekuatan diri dan kesabaran yang diperlukan untuk menghadapi semua ini.

Bagi mereka yang diberikan kesihatan diri yang baik, bersyukur dan sentiasalah beringat. Malang itu tidak berbau dan ujian Tuhan tiada siapa yang tahu.

Mungkin juga kita perlu mengambil ikhtibar bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Seperti kata Hamka; “Kehidupan itu laksana lautan. Orang yang tidak berhati-hati dalam mengayuh perahu, memegang kemudi dan menjaga layar, maka karamlah ia digulung oleh ombak dan gelombang”. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI