PONTIAN – Menjadi impian seorang wanita untuk melihat zuriat yang dilahirkan menjalani kehidupan sempurna seperti kanak-kanak lain.
Namun, tiada siapa yang dapat menidakkan ketentuan Ilahi apabila Nordiana Ahmad, 35, dikurniakan anak sulung yang mengalami kecacatan di kaki kiri sejak lahir.
Menurut ibu tunggal itu, keadaan tersebut menyebabkan Muhammad Adam Firdauss Abdullah, 8, tidak dapat berjalan dengan sempurna, sebaliknya lebih banyak merangkak untuk mempercepatkan pergerakan.
“Dia mempunyai masalah fizikal yang mana tulang kaki kirinya leper dan tumbesarannya tidak sama dengan kaki kanan, apabila berdiri tidak sama tinggi.
“Walaupun fizikalnya tidak sempurna tetapi semangat juangnya tinggi. Dia ceria, aktif malah seronok mengikuti persekolahan seperti rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chokoh Tengah, Sungai Kuali, Serkat di sini baru-baru ini.
Kanak-kanak istimewa itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Andek Mori.
Menurut Nordiana, ketika Muhammad Adam berusia tiga tahun, dia pula diuji masalah kegagalan fungsi buah pinggang dan perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di Pusat Perdagangan Pontian kira-kira 25 kilometer dari rumahnya.
“Jika keadaan mengizinkan, saya berulang-alik dengan menunggang motosikal,” katanya.
Nordiana bernasib baik kerana rawatan tersebut ditanggung oleh pihak Baitumal selain menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Memandangkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, wanita itu tidak mampu bekerja dan kini tinggal di rumah pusaka keluarga bersama dua adik lelakinya yang berusia 33 dan 34 tahun.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 011-1919 0933 atau menerusi akaun Maybank bernombor 1510-2574-3958. -KOSMO! ONLINE