fbpx

Russia beri amaran hentikan eksport minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Russia akan henti eksport minyak sekiranya had harga yang ditetapkan Barat adalah merugikan negara itu. - Edules

MOSCOW – Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Novak memberi amaran akan menghentikan eksport minyak sekiranya harga siling yang dicadangkan Barat merugikan Moscow, lapor laman berita RT kelmarin.

Novak memberitahu perkara tersebut dalam satu wawancara bersama saluran televisyen Russia, Channel One.

“Jika harga yang mereka (Barat) bincangkan ini lebih rendah daripada kos pengeluaran minyak, Russia tidak akan me­nyalurkan bekalan minyak ke pasaran dunia.

“Ini kerana kami tidak akan terlibat dalam urus niaga yang tidak menguntungkan Russia,” jelas Novak.

Kenyataan beliau dibuat susulan persetujuan negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) untuk menetapkan harga siling minyak Russia pada akhir Jun lalu.

Idea harga siling tersebut pertama kali dikemukakan oleh Washington sebagai cara untuk mengekang pendapatan eksport tenaga Russia.

Menurut agensi berita Bloom­berg, penyokong-penyokong lang­kah itu membincangkan kemungkinan mengehadkan harga yang dibayar untuk eksport Russia melalui campur tangan dalam insurans dan pengangkutan.

Menurut rancangan tersebut, hanya bahan mentah dan produk minyak yang nilainya tidak melebihi harga siling yang ditetapkan oleh G7 akan dibenarkan untuk diinsuranskan dan diangkut.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida baru-baru ini ber­kata, harga siling akan ditetapkan sekitar separuh daripada harga pasaran semasa minyak Russia.

Pada Jun lalu, harga purata setong minyak mentah Ural berada sekitar AS$87.25 (RM388).

Bagaimanapun, perbincangan mengenai rancangan Barat itu masih berjalan dan harga siling berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Russia percaya penetapan harga siling akan mendorong harga minyak global melambung lebih tinggi. 

Presiden Vladimir Putin baru-baru ini menyatakan bahawa Barat sedang melangkah ke arah melonjakkan lagi harga minyak di pasaran antarabangsa, sama seperti yang dibuat dalam langkah menghentikan pembelian gas Russia.

“Hasilnya akan sama iaitu harga minyak dunia akan melambung lebih tinggi,” kata Putin.

Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan, Dmitry Medvedev pula meramalkan bahawa harga minyak akan meningkat lebih AS$300 (RM1,336) hingga AS$400 (RM1,782)  setong jika Barat meneruskan rancangannya.

“Rancangan Barat akan menyebabkan bekalan minyak dunia merosot dan dan mendorong kenaikan harga secara drastik,” kata Medvedev. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI