MERSING – Dua nelayan warga asing ditahan selepas disyaki menceroboh Taman Laut untuk menangkap ikan secara haram semalam.
Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abdul Wahab berkata, lelaki berusia 37 dan 50 tahun itu ditahan dalam operasi pemantauan, pengawalan dan survelan (MCS) hujung minggu yang dijalankan pasukan khas Taman Laut dan Pengurusan Sumber di kawasan Taman laut Johor.
Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan disyaki warga Myanmar ditahan pihaknya ketika sedang membuat rondaan semasa menuju ke Pulau Harimau.
“Dalam penahanan tersebut, tangkapan dianggarkan sebanyak 60 kilogram terdiri daripada ikan seperti ikan selar kuning dan ikan sagai.
“Anggaran nilai sitaan adalah RM970 dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 8 (a) dan 11 (3) (b) dan sekiranya disabitkan kesalahan vesel dan peralatan akan dirampas dan dilucutkan hak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Jabatan Perikanan sentiasa komited dalam mengurus alam sekitar dan tidak akan berkompromi kepada sesiapa yang menyalahi Akta Perikanan 1985.
Katanya semua orang diperingatkan agar sentiasa mematuhi Akta Perikanan 1985 agar sumber perikanan negara dapat diurus secara lestari. – KOSMO! ONLINE