DUNGUN – Penduduk Kampung Kuala Abang di sini kecewa dengan penyebaran dakwaan kononnya hantu penanggal berkeliaran di perkampungan tersebut sejak beberapa hari lalu hingga menakutkan wanita dan kanak-kanak keluar malam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kuala Abang, Johan Ahmad berkata, setakat ini, tiada penampakan hantu penanggal seperti didakwa di situ.
“Sepanjang 50 tahun saya menetap di sini, belum pernah sekali pun mendengar ada hantu di kampung ini.
“Penduduk lain pun tidak pernah nampak. Kami tidak tahu bagaimana cerita hantu ini boleh tular di media sosial,” katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, video mengenai kononnya seorang wanita bersama adiknya terserempak dengan kelibat menyerupai penanggal di kampung berkenaan pada pukul 2.30 pagi Rabu lalu menjadi tular.
Difahamkan, penampakan itu berlaku ketika wanita dari Johor itu berhenti di tepi jalan ketika mencari rumah saudaranya di Kampung Kuala Abang.
Menurut Johan, penduduk kampung menganggap cerita kewujudan hantu penanggal tersebut sebagai rekaan semata-mata dan kesal ia seakan-akan ditokok tambah di media sosial.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hasanah Ismail, 45, turut mengakui cerita hantu penanggal tidak pernah didengari masyarakat kampung itu sebelum ini.
“Berhentilah mereka cerita bukan-bukan. Saya bimbang ia menimbulkan ketakutan orang ramai untuk keluar malam sehingga menjejaskan ekonomi setempat,” katanya. -KOSMO! ONLINE