fbpx

Kegiatan seks sumbang 95 peratus kes cacar monyet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai menunggu dalam barisan untuk menerima vaksin cacar monyet sebelum pembukaan tapak vaksinasi di Kampus Pendidikan Bushwick di Brooklyn pada 17 Julai lalu. - AFP

WASHINGTON – Sejumlah 95 peratus kes cacar monyet berjangkit melalui aktiviti seksual, demikian menurut satu kajian terbesar setakat ini.

Kajian itu disiarkan dalam penerbitan New England Journal of Medicine kelmarin ketika ­pakar-pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdebat sama ada mahu mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan global sekali gus amaran tertinggi WHO.

Diketuai oleh saintis-saintis Universiti Queen Mary di London, penyelidikan tersebut me­nganalisis 528 jangkitan disahkan cacar monyet di 16 buah negara antara 27 April hingga 24 Jun tahun ini.

“Adalah penting untuk menekankan bahawa cacar monyet bukanlah penyakit kelamin se­perti pemahaman tradisional kerana ia boleh berjangkit menerusi sebarang bentuk sentuhan. 

“Namun, penyelidikan kami mendapati jangkitan terbesar mempunyai kaitan dengan aktiviti seksual terutamanya seks sesama lelaki.

“Kajian ini juga meningkatkan pemahaman tentang bagaimana cacar monyet merebak dan kumpulan yang dijangkitinya. Ini dapat membantu untuk mengenal pasti kes baharu dengan segera dan membolehkan kami menawarkan strategi pencegahan,” kata pengarang utama kajian itu, John Thornhill.

Secara keseluruhan, 98 peratus pesakit adalah lelaki gay atau biseksual dengan 41 peratus menghidap HIV, manakala umur median ialah 38 tahun.

Bilangan median pasangan seks pesakit cacar monyet tiga bulan sebelum dijangkiti ialah lima orang, manakala satu per­tiga mengunjungi tempat hiburan liar seperti parti seks atau sauna.

Walaupun aktiviti seksual menjadi punca kepada kebanyakan kes cacar monyet, pasukan penyelidik berkenaan menekankan dalam satu kenyataan ba­hawa virus itu boleh merebak me­lalui sebarang sentuhan fizikal termasuk titisan pernafasan dan berpotensi berjangkit melalui pakaian dan permukaan lain.

Ramai pesakit menunjukkan simptom yang belum pernah dikaitkan dengan wabak cacar monyet termasuk ruam pada kemaluan dan kudis pada mulut atau dubur. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI