KOTA TINGGI – Atlet kebangsaan, Nigel Ng Kar Kean, 19, dan Mayumi Shinozuka, 21, masing-masing ungguli acara 5150 Triathlon yang berlangsung di Desaru Coast, di sini hari ini.
Kar Kean mencatatkan masa terpantas merekodkan masa 2 jam 18 minit dan 34 saat sekali gus mengungguli peringkat usia 18 hingga 24 tahun manakala bagi acara wanita dimenangi Mayumi yang mencatatkan masa 2 jam 36 minit 32 saat.
Kar Kean berpuas hati dengan prestasinya pada acara tersebut setelah bermula baik dengan renang dan mula menjarakkan kedudukan ketika berbasikal.
“Saya bermula kedudukan yang baik bagi renang dan mula menjarakkan kedudukan ketika berbasikal. Cuaca yang baik juga membantu saya beraksi dengan baik.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi bagi acara ini. Persiapan saya selama dua bulan sebelum ini membuahkan hasil,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan acara 5150 Triathlon di sini hari ini.
Kar Kean sebelum ini mewakili Malaysia bagi acara Triathlon di Sukan Sea Hanoi 2022 pada Mei lalu dengan menamatkan larian di posisi ke-12.
Sementara itu, Mayumi menganggap penyertaan bagi acara ini sebagai platform mengekalkan tahap kecergasan setelah mewakili negara pada Sukan Sea Hanoi yang lalu dan menamatkan siangan di posisi ketujuh.
Dalam pada itu, seorang atlet kebangsaan, Edwin Thiang Chong Yoong, menamatkan acara dengan catatan masa 2 jam 19 minit dan 56 saat sekali gus mengungguli kategori 25 hingga 29 tahun.
Acara 5150 Triathlon yang berlangsung pada pukul 7 pagi tadi melibatkan seramai 357 atlet dan Desaru Coast Sprint Triathlon pula seramai 108 orang dengan kesemua peserta termasuk pemenang membawa pulang medal
Kesemua peserta perlu mengharungi cabaran tiga disiplin perlumbaan iaitu renang 1.5 kilometer, berbasikal 40 kilometer dan larian 10 kilometer dengan masa dua jam 18 minit.
Acara Sprint Triathlon yang melibatkan tiga perlumbaan iaitu renang 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan larian lima kilometer dijuarai Bryce Chong dari Singapura dengan masa 1 jam 6 minit bagi kategori lelaki manakala kategori wanita pula diungguli atlet negara Nuraina Naziha Mohamad Nazim dengan masa 1 jam 33 minit.- KOSMO! ONLINE.