PETALING JAYA – Identiti mayat lelaki yang ditemui mati dalam keadaan bogel dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium sekitar Kelana Jaya pada 12 Julai lalu telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin berkata, pihaknya telah memohon bantuan kedutaan berkaitan dalam mengenal pasti identiti mangsa.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti identiti mangsa yang berusia 40-an itu dan pada masa sama sedang menunggu proses pengesahan acid deoxyribonucleic (DNA).
“Siasatan masih diteruskan dan kita sedang menyiasat sama ada mangsa mati dibunuh atau terdapat unsur-unsur lain yang menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas Program Kerjasama Strategik Antirasuah di Taman Jaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang ditahan masih direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Polis dalam proses melengkapkan siasatan dan sejurus selesai akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kosmo! pada 13 Julai lalu melaporkan, dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga asing di sekitar Kelana Jaya. Pada masa sama, beberapa peralatan seks turut dirampas ketika proses penahanan terbabit.
Terdahulu, polis mengesahkan mangsa dan kedua-dua suspek berkenalan menerusi aplikasi media sosial untuk golongan gay dan sudah beberapa kali bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian(rumah suspek).
Mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayatnya dijumpai oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan dalam keadaan bogel. – KOSMO! ONLINE.